Tuesday, October 14, 2014


Hentikan isu lebuh raya 



 Sultan Muhammad V berkenan memeriksa perbarisan pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-13, semalam. Sultan Muhammad V berkenan memeriksa perbarisan pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-13, semalam.

 KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengingatkan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat agar tidak terus menjadikan isu Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sebagai bahan percaturan, sebaliknya mengambil satu tanggungjawab untuk bersama-sama menyelesaikan projek itu demi keselesaan rakyat. Baginda juga tidak mahu isu lebuh raya itu berlarutan kerana kesannya akan ditanggung rakyat. “Beta difahamkan, Kelantan diberikan peruntukan RM1.7 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek di bawah pelan ketiga Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

 Beta berharap projek ini akan disiapkan mengikut jadual ditetapkan. “Begitu juga dengan projek lain yang telah lama dirancang seperti projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, wajarlah semua pihak memperlihatkan keikhlasan dan rasa tanggungjawab untuk menyelesaikannya,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-13 Tahun 2014 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, semalam.

 Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Titah baginda lagi, Kerajaan Pusat juga diharap mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Sungai Golok untuk mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut dengan mengutamakan kepentingan rakyat. Baginda turut menyarankan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan meningkatkan jalinan kerjasama strategi bagi memenuhi keperluan rakyat seperti penyediaan rumah mampu milik selaras dengan konsep ‘satu keluarga satu rumah’.

 Dalam pada itu, baginda juga menyarankan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat mengambil inisiatif sewajarnya menangani serta mengurangkan beban ditanggung rakyat berikutan keadaan ekonomi global semakin lemah sehingga meningkatkan kos sara hidup. “Semua pihak perlu berhemah ketika berbelanja, malah rakyat perlu merancang perbelanjaan dan menggunakan kemudahan sedia ada sebaiknya, manakala pihak kerajaan perlu mengurus tadbir kewangan secara telus dan bijaksana,” titah baginda.

 Baginda turut bertitah agar semua agensi kerajaan proaktif memberi tumpuan dalam usaha mengoptimumkan kutipan hasil daripada pelbagai sumber utama negeri, dengan memperkasa dan mempertingkatkan penguatkuasaan supaya prestasi kewangan kerajaan negeri bertambah baik. “Beta juga berharap keutamaan diberikan kepada pembangunan bandar baharu seperti Tok Bali, Sungai Terah dan Lojing," titahnya.